-->

Rabu, Februari 09, 2011

Menyayangi...mencintai...memiliki...


Saya tidak tahu mengapa saya memilih menulis tentang topik ini hari ini. Sebenarnya terlalu banyak perkara yang berlegar di fikiran saya yang setiap satunya agak sukar untuk diperjelaskan dengan kata-kata. Ada orang mengatakan, menyayangi dan mencintai adalah dua keadaan yang berbeza. Kita boleh menyayangi sesiapa saja yang hati kita terpaut atau berkenan untuk menyayangi. Menyayangi keluarga, kawan-kawan, sahabat, handai taulan atau seumpamanya. Tetapi  mencintai... Adakah benar  mencintai adalah untuk seterusnya kita memiliki seseorang itu sebagai hak milik kita peribadi? 

Tentu ramai yang akan berkata, sudah tentu! Saya cintakan dia, dia cintakan saya...kami saling mencintai, saling memiliki...orang lain tolak tepi! Menolak semua orang meskipun orang itu adalah orang-orang budiman yang suatu ketika dahulu pernah kita menyandarkan harapan dan tangisan? Tentang menolak orang disekeliling, saya banyak berkongsi pengalaman itu dengan dan daripada rakan-rakan atau lebih tepat anak-anak.

Seorang gadis bercerita kepada saya, bagaimana seorang rakan karib yang telah menjadi sahabatnya sejak bertahun-tahun. Tidur sebantal, makan sepinggan, sebungkus megi berkongsi berdua, susah senang bersama mengharungi kehidupan di perantauan, akhirnya diketepikan oleh sahabatnya yang sedang ligat bercinta. Alasan sahabatnya, teman lelakinya itu tidak suka dia berkawan dengannya.  Maka luka parah hati sang sahabat yang selama ini akrab bagai isi dengan kuku padahal mereka pernah  mengisytiharkan bahawa mereka adalah sahabat dan adik beradik dunia akhirat.

Dalam kes yang lain pula, seorang sahabat yang tinggal agak berjauhan tidak putus bersms hampir setiap hari. Menjadi biro pengaduan ketika duka, menjadi tempat meminjam wang ketika tiada, menjadi teman bercanda gurau ketika sunyi tiba-tiba menyepikan diri. Sang sahabat menyangka sahabatnya sibuk dengan pekerjaannya.  Hari, minggu serta bulan berlalu. Setelah hampir tiga bulan, sahabatnya itu muncul dengan sms kedukaan menghabarkan bahawa dia telah ditipu oleh kekasihnya yang baru saja meninggalkannya. Sahabat menjadi terkedu. Saya tidak tahu ketika bila dia bercinta, tup tup sudah putus dan tertipu pula?

Begitulah! Mengapa terjadi begitu? Salah satunya tidak mahu diganggu, tentunya! Selain daripada itu? Bukankah sahabat merupakan cermin bagi sahabatnya? Sahabat yang baik akan sentiasa prihatin memerhati perkembangan hubungan sahabatnya. Orang yang sedang mabuk bercinta selalunya jarang memikirkan segala kemungkinan buruk. Mata dan hatinya hanya melihat segala yang indah, meremehkan segala yang cela yang ada pada pasangannya. Kalau tidak percaya, cubalah anda mengkritik teman lelaki atau wanita sahabat anda. Lihat reaksi pertamanya. Silap-silap haribulan anda dijegil bagai hendak ditelannya!

Kita sering asyik, tenggelam dan leka  meraikan cinta baru yang hadir dalam kehidupan kita. Kita mengimpikan kebahagiaan dan perhubungan yang berkekalan. Tetapi pernahkah kita berfikir tentang 'cinta lama' yang perlahan-lahan kita menguburkan? Kita berasa begitu menderita akibat cinta yang tidak kesampaian. Harus melalui pengalaman yang sama berulang-ulang. Bagaimana pula dengan cinta lama yang kita tinggalkan? Kalau cinta yang berakhir dengan kepahitan...sungguh! Memang wajar kita melupakan. Bagaimana pula dengan cinta yang berakhir tanpa kepastian? Yang ditinggalkan tanpa kepastian atau harapan, alih-alih anda memilih yang lain? Alangkah baiknya memberikan kata-kata pasti daripada membiarkan orang berteka-teki tentang hati dan perasaan kita. Sayang kata sayang, benci katalah benci! Terluka cara demikian tidaklah seperit luka kerana berdiam.

Walau apapun...usahlah sampai kita menjadi taksub kepada cinta. Cinta memang membahagiakan tetapi ia dan dia bukanlah segala-galanya dalam hidup kita. Kita masih mempunyai kehidupan yang lain. Usah kita menyempitkan definasi cinta yang sepatutnya luas tidak bertepi itu sehingga menafikan hak-hak insan lain yang juga berhak mendapat perhatian kita. Hak keluarga, hak saudara mara, hak sahabat serta hak masyarakat terhadap kita. Lebih-lebih lagi hak Allah. Jangan sampai cinta membutakan kita sehingga kita gagal menilai antara keinginan dan kepentingan.

Manusia lazimnya terlalu ghairah dan megah dengan percintaan mereka. Terlalu meng'agung'kan cinta yang sering membawa mereka tersasar daripada matlamat cinta yang sebenar. Terlalu kurang cinta didasari rasa penghormatan yang tinggi. Terlalu sedikit cinta yang tidak didorongi nafsu ingin 'memiliki' sebelum waktunya.
Makanya terjadilah 'keterlanjuran' dalam perhubungan. Selalunya keterlanjuran yang sengaja diundang.

Bagi seorang lelaki yang mempuyai rasa cinta sepenuhnya pada seorang wanita, mereka seharusnya menjaga serta menghormati wanita tersebut dengan sewajarnya. Memperlakukan wanita itu dengan elok sebagaimana mereka mahu lelaki lain memperlakukan adik-adik, kakak serta saudara-saudara perempuan mereka dengan elok. Menjaga maruah perhubungan supaya tidak dilatari angan-angan atau bayangan-bayangan nakal yang pastinya akan mencemarkan akal dan fikiran.

Bagi perempuan pula, bijaksanalah menjaga maruah anda. Usah jadikan status kekasih atau tunangan itu sebagai tiket untuk  menghalalkan diri untuk dicuit atau mencuit, untuk dipegang atau memegang, untuk dibelai atau membelai. Matlamat tidak pernah membenarkan cara. Matlamat perhubungan untuk perkahwinan bukan satu kepastian bagi anda menghalalkan segalanya. Jika perhubungan terkandas dipertengahan manakala pula  maruah sudah tergadai, sesal kemudian sudah tidak berguna.

Oleh itu dalam setiap perhubungan cinta, sentiasa menjadikan iman dan agama serta rasa hormat itu sebagai perisai dalam perhubungan itu. Usah jadikan ia perkara remeh. Alaaa...dia tunang aku, apa salahnya dia cium aku? Dia boyfriend aku apa salahnya aku pegang tangan dia? Kolot sangat, pegang pun tak boleh! Alim sangat! Macam bagus!  Cemburulah tu! Itulah ayat-ayat lazim yang selalu kita mendengar.  Tapi bagaimana bila suatu hari nanti hal yang sama terjadi kepada anak cucu kita? Sanggupkah kita melihat mereka memperlakukan atau diperlakukan sedemikian rupa? Sejarah sentiasa berulang.

Jadinya anak-anakku...rasionallah apabila bercinta. Sebagai manusia yang beragama dan berbudaya, jagalah tatasusila ketika bercinta. Usah malu dikatakan kolot, Usah risau dilabelkan ketinggalan zaman. Jika seorang lelaki sanggup meninggalkan anda kerana anda tidak mengizinkan dia mencium pipi anda hatta memegang tangan anda, itu petunjuk pertama bahawa lelaki itu bukanlah seorang yang budiman. Beriman? Nilaikanlah dengan akal waras anda! Tidak perlu menyesal jika lelaki sebegini meninggalkan anda kerana ternyata dia tidak menghormati anda sebagai wanita bukan muhrimnya. Perkasihan dan pertunangan cumalah perjanjian hati...yang mungkin kekal, mungkin berubah mengikut pasang surutnya hati  Maruah anda jauh lebih berharga daripada segalanya. Pilihlah cinta yang membawa kita ke syurga yang sebenar...bukan syurga di dalam fantasi anda semata-mata. Jauhilah pasangan yang memberikan anda isyarat yang salah untuk membuktikan cinta sebelum ijabkabul! Perisai bagi orang beriman adalah maruahnya. Usahlah berbangga berpeleseran dan merengek-rengek dengan pasangan masing-masing tanpa status suami isteri. Jangan sekali-kali bangga menunjukkan betis dan peha kepada yang bukan muhrim. Cantiknya wanita terletak kepada akal, budi bicara dan kebijaksanaannya.

Memiliki? Tiada siapa yang menjadi milik sesiapapun sepenuhnya. Aku milikmu...kamu milikku! Benarkah?  Kerana itu rela menyerahkan segalanya dengan pinta atau tanpa pinta walaupun sebelum waktu halalnya?Usah terlalu yakin! Kepastiannya cuma satu...kita secara totalnya adalah milik Maha Pencipta!
.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~