-->

Khamis, September 23, 2010

Akhirnya...

Akhirnya segala penat lelah berbaloi...rating tertinggi untuk Slot Lagenda dengan 2 juta penonton...meluruhkan segala kelelahan dan kesakitan sepanjang menyiapkan skrip dan olahannya...Sakit kepala yang menggila dan berpanjangan membuatkan saya hampir  mengalah. Namun melakukan sesuatu dengan ikhlas dengan niat yang betul pasti hasilnya amat indah. Terima kasih Abg Murali kerana memahami.Seperti yang abang pernah katakan...kita buat kerana Allah. Walaupun terdapat kesilapan nama bapa pada kredit title...saya redha...cuma ada sedikit rasa terkilan kerana nama bapa yang telah kembali ke rahmatullah 23 tahun yang lalu seharusnya begitu indah bercantum disisi nama saya. Barangkali ada hikmahnya disebalik kesilapan itu. Cuma saya ingin berpesan kepada pihak yang bertanggung-jawab... Kesilapan itu agak menyinggung perasaan saya...namun saya telah memaafkan walaupun tiada permohonan maaf yang saya terima. Mungkin bagi mereka hanya kesilapan kecil...namun bagi saya ia amat mengguris hati. Berhati-hatilah dilain kali :) Salam syawal untuk semua.

Selasa, September 14, 2010

Antara Puasa Enam dan Puasa Ganti

Ramai dikalangan handai taulan yang bertanya kepada saya, bolehkah puasa enam dan puasa ganti iaitu qhada' dilakukan serentak? Ini adalah kerana setiap individu yang mereka rujuk dan bertanya memberikan jawapan yang berbeza.  Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh. Ada juga yang mengatakan puasa enam mesti dibuat secara terus menerus sehingga habis enam hari tanpa terputus-putus. Ada pula yang mengatakan boleh dibuat secara berselang seli sehingga habis bulan syawal.

Memandangkan terlalu kerap orang bertanya, tergerak pula dihati untuk berkongsi tentang maklumat sebenar tentang pro dan kontra ini semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua. Setelah merujuk kepada beberapa sumber, inilah yang dapat dirumuskan tentang persoalan tersebut.

Puasa enam sebaik-baiknya adalah dilaksanakan secara berturut-turut, tetapi boleh juga dilakukan dengan berselang dan tidak menjadi kesalahan dari sudut hukum.

Puasa enam tidak boleh disekalikan atau dibuat secara serentak dengan puasa ganti kerana niatnya berbeza. Puasa enam adalah sunat manakala puasa ganti atau qadha` adalah wajib.

Adalah lebih afdal menqada'kan puasa Ramadhan terlebih dahulu sebelum berpuasa enam. Ini adalah kerana antara wajib dan sunat, ibadah yang wajib itu adalah lebih diutamakan.

Untuk keterangan lebih lanjut, saya copy pasye artikel dari  http://dakwah2u.blogspot.com/ ini agar lebih jelas persoalannya.

Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.


Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

http://dakwah2u.blogspot.com/

Sumber rujukan:
http://www.islam.gov.my
http://halaqah.net/

Khamis, September 02, 2010

WUDUK SERTA HIKMAHNYA

Wuduk semua orang Islam tahu. Hari-hari kita berwuduk kerana berwuduk adalah wajib untuk bersolat. Kebanyakan daripada kita berwuduk hanya dengan niat ketika membasuh muka.Manakala perlakuan yang lain seperti membasuh tangan, berkumur dan sebagainya dianggap rutin biasa yang hanya menurut tertibnya saja. Ramai yang tidak tahu bahawa setiap tertib yang kita buat itu ada doanya dan hikmahnya tersendiri. Mari kita hayati doa-doa ini bersama.

1. Doa ketika mencuci tangan sebelum berkumur:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala Puji bagi Allah yang menjadikan air itu suci.

2. Doa ketika berkumur-kumur:

“Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini”.


3. Doa Ketika Mencuci Muka Sesudah Niat:

Ya Allah! berilah cahaya pada wajahku pada hari bercahayanya muka-muka orang mukmin dan hitamnya muka-muka orang kafir

4. Doa ketika mencuci tangan kanan:

Ya Allah! berikanlah kepadaku kitabku dari sebelah kanan dan hitunglah
amalanku dengan perhitungan yang mudah.

5. Doa Ketika Mencuci Tangan Kiri:

Ya Allah! aku berlindung denganMu dari menerima kitab amalanku dari
sebelah kiri atau dari sebelah belakang.

6. Doa Ketika Menyapu Kepala:

Ya Allah! Halangilah rambutku dan kulitku dari api neraka.

7. Doa ketika mencuci telinga:

Ya Allah! Ampunilah dosa telingaku ini.

8. Doa Ketika Mencuci Kaki Kanan:

Ertinya: Ya Allah! Tetapkanlah kedua kakiku di atas titian yang lurus.

9. Doa Ketika Mencuci Kaki Kiri:

Ya Allah! Janganlah Kau gelincirkan kaki kami di atas titian yang lurus.

10. Doa Sesudah Wuduk (Mengangkat tangan sambil melihat ke atas)

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu baginya,
dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya. Ya Allah!
Jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersuci dan jadikanlah aku dari
golongan orang-orang soleh.

Semoga kita bersama-sama menafaatkan setiap doa yang ada. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan dan menyediakan selengkap-lengkah ilmu kepada umat manusia.


Rabu, September 01, 2010

Surah Al Qadr


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم:Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ 97:1]]Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan.


وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ [97.2]Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?


لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ [97.3]Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.


تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ [97.4]Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.


سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ [97.5]Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.


Doa malam Lailatul Qadar

Kita hanya manusia biasa yang serba lemah dan kekurangan. Sentiasa berbuat silap samada secara kita sedari mahupun tidak kita sedari. Pada malam-malam terakhir Ramadan ini marilah kita bemuhasabah diri. Memohon keampunan dari Allah...mana tahu kita tidak akan bersua lagi denga bulan yang penuh kesejahteraan dan keberkatan ini. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Semoga Allah akan mengampuni segala dosa-dosa kita. Amin.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّى


“Allah humma innaka ‘afuu ’un tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni”

Maksudnya: (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka Mengampuni, maka ampunilah aku)” (HR Tarmidzi)



.~Sebelum Mata Terpejam~ ©2006 - 2014. Hakcipta :rafikasastras~Sebelum Mata Terpejam~